Kisah di Sebalik Pendidikan Kulit – PENDILIT™
Pendidikan Kulit ini bermula daripada pengalaman saya sendiri Cirasso, sebagai pengguna skincare yang bertahun-tahun mencari penyelesaian untuk masalah kulit berminyak, berjerawat dan hormonal.
Lebih 10 tahun bermula dari saya remaja lagi, saya mencuba pelbagai produk skincare daripada yang murah sehingga yang mahal. Namun, kebanyakannya tidak memberikan hasil seperti yang dijanjikan. Daripada situ, saya sedar bahawa masalah sebenar bukan sekadar produk tidak berkesan tetapi kerana kita sebagai pengguna tidak mempunyai ilmu yang mencukupi untuk memahami tindak balas yang realistik produk skincare tersebut terhadap kulit kita sendiri.
Saya mula membaca, membuat research dan menterjemah artikel berkaitan sains kulit daripada sumber yang dipercayai seperti AAD, PubMed dan DermNet. Saya juga menemukan perkongsian daripada seorang penulis Korea yang pernah menulis buku mengenai skincare dan melalui situasi yang hampir sama seperti saya.
Setiap ilmu yang saya fahami, saya simpan dan kongsikan semula dalam bentuk nota ringkas di Instagram Story milik saya. Lama-kelamaan, nota tersebut berkembang menjadi sebuah platform yang saya namakan ia sebagai ‘Pendidikan Kulit’ dan diringkaskan menjadi PENDILIT™, kerana saya sedar yang ilmu skincare ini adalah sebuah pendidikan yang tidak pernah diajar secara agresif oleh sesiapa pada masa itu — jadi bagi saya ia menjadi sebuah ruang untuk membantu pengguna lain juga memahami kulit mereka, membuat keputusan skincare dengan lebih bijak dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada janji dan info daripada brand, packging, marketing dan penjual produk.
Saya bukan doktor, dermatologist, esthetician ataupun cosmetic chemist. Saya hanyalah seorang pengguna yang percaya bahawa setiap orang berhak mendapatkan maklumat yang jujur, telus, mudah difahami dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan menjual produk.
Daripada situlah saya membina platform Pendidikan Kulit – PENDILIT™ ini bagi membantu lebih ramai pengguna terutama acne fighter di luar sana menyelesaikan masalah breakout yang dialami mereka selama bertahun-tahun itu dan transform kulit mereka kepada clear skin yang sebenar-benarnya.